20 Tempat Menarik Di Kota Kinabalu Sabah

Sebenarnya banyak tempat menarik di Kota Kinabalu yang mungkin anda belum pernah kunjungi. Mungkin disebabkan ianya tidak begitu popular atau kurang dipromosikan. Kali ini, pihak infosantai ingin berkongsi 20 tempat menarik di sekitar Kota Kinabalu, Sabah yang menarik ataupun mungkin berbaloi untuk anda kunjungi terutamanya pada musim cuti.

Mungkin juga ketika ini anda berada di Kota Kinabalu atas urusan tertentu dan berhasrat untuk menghilangkan rasa bosan anda atau ingin bersantai setelah selesai melaksanakan tugasan ‘outstation’ anda dan anda masih mempunyai banyak masa yang terluang, maka tempat-tempat menarik berikut adalah paling sesuai untuk anda boleh sampai ke tempat yang dinyatakan dalam masa yang singkat.

Berikut merupakan tempat menarik di sekitar Kota Kinabalu yang sememangnya menarik untuk dikunjungi bersama keluarga atau rakan-rakan anda.

Borneo Ant House

Borneo Ant House ataupun juga dikenali sebagai Taman Semut Borneo merupakan salah satu tempat menarik di sekitar Kota Kinabalu yang terletak di Daerah Tuaran. Tempat ini merupakan salah satu tempat yang baharu namun mendapat sambutan ramai yang mana telah dibuka kepada kunjungan orang ramai secara rasminya bermula pada 1 Julai 2017. Tempat ini adalah dalam bentuk galeri yang mana mempunyai 3 bilik pameran denga 463 replika semut, warisan budaya serta pedang. Tempat ini juga turut ilengkapi dengan taman tema dengan persekitaran alam semulajadi, rumah pokok moden serta laluan pejalan kaki jambatan gantung san juga dilengkapi dengan kafeteria.

Tagal Tinopikon

Tagal Tinopikon Park terletak di Kampung Notorus, Penampang. Tarikan utama tempat ini ialah ikan jenis Pelian yang jinak yang terdapat di sungai di kampung ini. Perkataan ‘Tagal’ bermaksud larangan menangkap ikan dimana kampung ini tidak membenarkan aktiviti penagkapan ikan. Pelawat juga akan disajikan dengan makanan tradisi yang disajikan oleh penduduk kampung di sini. Anda boleh bermandi-manda dan memberikan ikan makanan. Aktiviti lain yang boleh dilakukan ialah jungle trekking dan mencuba bagaimana cara menoreh getah dengan betul. Jika pergi ketempat ini, anda perlu membuat sedikit bayaran masuk, pakaian, minuman, kasut anti licin dan barang keperluan asas yang dirasakankan perlu.

Kipandi Butterfly Park

Tempat ini terletak sedikit jauh daripada Kota Kinabalu iaitu sejauh 36 kilometer dari Kota Kinabalu. Kipandi Butterfly Park atau Taman Rama-Rama Kipandi terletak di Kampung Kipandi, Moyog. Ianya terletak di jalan Penampang-Tambunan. Setakat ini, tempat menarik ini dilaporkan mempunyai lebih 100 spesis rama-rama, 1500 spesimen rama-rama, lebih daripada 3000 jenis kumbang yang hanya boleh ditemui di Banjaran Crocker seperti Kumbang Cyclommatus Chewi, lebih kurang 500 jenis orkid, pelbagai jenis bunga dan tumbuh-tumbuhan.

Taman Tunku Abdul Rahman

Taman Tunku Abdul Rahman terdiri daripada 5 buah pulau yang menjadi tarikan para penyelam di serata dunia. Pulau yang terkenal ini ialah Pulau Mamutik, Pulau Gaya, Pulau Sulug, Pulau Manukan dan Pulau Sapi. Disebabkan tempat yang sangat terhad, anda perlu membuat tempahan dengan lebih awal jika ingin mengunjungi pulau-pulau ini. Antara aktiviti utama yang boleh dilakukan di pulau ini ialah snorkeling dan menyelam. Perjalanan ke taman ini mengambil masa lebih kurang 15 hingga 20 minit dengan menaiki bot laju daripada Terminal Feri Jesselton Point di Kota Kinabalu. Taman ini beroperasi bermula seawal jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang manakala operasi bot laju di Jesselton Point pula bermula pada 7.30 pagi hingga 5.00 petang. Untuk penerangan lebih lanjut mengenai taman ini anda boleh mengunjungi laman web Sabahtourism.

Atkinson Clock Tower

Atkinson Clock Tower dikatogerikan sebagai tempat menarik di Kota Kinabalu disebabkan tempat ini merupakan bangunan atau menara jam yang tertua pernah dibina di Kota Kinabalu. Menara jam ini dibina sempena memperingati Pegawai Daerah Jesselton di suatu ketika dahulu iaitu Mendiang Francis George Atkinson yang meninggal dunia pada umur 28 tahun disebabkan oleh Borneo Fever iaitu Malaria. Menara Jam Atkinson ini telah siap dibina pada 20 April 1905. Dengan ketinggian 50 kaki, menara ini menjadi daya tarikan pelancong terutama bagi mereka yang ingin mengambil gambar berlatarkan menara sejarah ini.

Pantai Tanjung Aru

Bandaraya Kota Kinabalu sememangnya sinonim dengan Pantai Tanjung Aru yang terkenal sejak dari dulu lagi. Pesisiran pantai ini menjadi pilihan utama orang ramai untuk beriadah, berjogging, berjalan-jalan, mandi-manda serta barbeku bersama keluarga atau sahabat handai setiap hari. Pantai Tanjung Aru menjadi sesak terutamanya pada hujung minggu kerana biasanya akan terdapat aktiviti yang dijalankan oleh kumpulan-kumpulan tertentu seperti sukaneka dan sebagainya. Kanak-kanak juga meminati tempat ini kerana mereka berpeluang untuk mandi, bermain layang-layang, belon buih dan sebagainya. Untuk pengetahuan pembaca, pelbagai jenis layang-layang dijual di kawasan ini. Walaubagaimanapun, ibubapa perlu mengawasi anak-anak mereka yang mandi di tepi pantai kerana terdapat obor-obor yang boleh menyebabkan kecederaan akibat sengatannya.

Menara Tun Mustapha

Lokasi Menara Tun Mustapha adalah lebih kurang 5 kilometer atau 15 minit perjalanan daripada pusat Bandaraya Kota Kinabalu, Menara ini merupakan Ibu Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah juga merupakan salah satu daripada 4 bangunan di dunia yang menggunakan teknologi “bangunan tergantung”. Bangunan ini siap dibina sepenuhnya pada tahun 1976 dan dinamakan sempena ketua menteri sabah yang ketiga, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun. Bangunan ini berketinggian 30 tingkat dan sering menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar dan merasakan suasana restoran berputar di tingkat 18 bangunan ini. Musah sahaja untuk mengenali tempat menarik ini kerana anda boleh melihat bangunan ini dari pesisiran pantai jalan Kota Kinabalu ke Universiti Malaysia Sabah atau paling mudah adalah dengan menggunakan Google Maps.

Muzium Sabah

Muzium Negeri Sabah merupakan tempat menarik yang paling utama dan berbaloi untuk dikunjungi jika anda berada di Kota Kinabalu. Dengan keluasan 17 hektar, tempat bersejarah ini menempatkan bangunan muzium, etanobotani dan sebuah kampung warisan. Terdapat pelbagai artifak dan bahan bersejarah ditempatkan di dalam dan luar bangunan untuk tatapan umum. Muzium ini dibuka setiap hari bermula dari pukul 9.00 pagi sehingga 5.00 petang. Yuran kemasukan sebanyak RM 2.00 dikenakan kepada orang dewasa dan percuma bagi kanak-kanak dibawah 5 tahun.

Jesselton Point Waterfront

Terletak di pusat bandar Kota Kinabalu, Jesselton Point Waierfront merupakan salah satu daya tarikan utama di Bandaraya ini. Selain dari pusat pengangkutan utama feri ke Taman Tunku Abdul Rahman, tempat ini mempunyai bangunan dengan binaan yang unik, pondok telefon antik, gerai-gerai tepi laut dan laluan pejalan kaki diatas air. Di sini, pengunjung bebas berjalan-jalan dan bersantai sambil memesan makanan dan minuman di gerai serta menikmati suasana pemandangan tepi laut yang indah terutamanya pada waktu senja.

Taman Hidupan Liar Lokawi

Jika anda berada di Kota Kinabalu, Taman Hidupan Liar Lok Kawi adalah tempat menarik yang perlu anda kunjungi. Dengan kawasannya yang sangat luas, disini anda boleh melihat pelbagai spesis haiwan yang dilindungi seperti ular, burung, unggas, musang, pelbagai spesis rusa dan sebagainya. Taman hidupan liar ini terletak di jalan lama Penampang- Papar. Ianya mengambil masa kira-kira 30 minit atau sejauh 21 km perjalanan daripada pusat bandar iaitu Kota Kinabalu. Untuk panduan lokasi tempat ini, anda boleh bekunjung ke pautan ini.

Mari Mari Cultural Village

Bagi mereka yang ingin merasai keunikan cara hidup suku etnik di Sabah iaitu, Bajau, Dusun, Murut, Lundayeh dan Rungus, maka tempat ini sangat seuai untuk anda. Keadaan persekitaran tempat ini sangat unik kerana, rumah-rumah yang dibina adalah berasaskan kebudayaan masyarakat suku etnik di Sabah. Di sini, anda boleh merasai serta menghayati suasana kehidupan sebenar masyarakat etnik di sabah. Mereka akan menunjukkan bagaimana menghasilkan api menggunakan buluh, demonstrasi tatoo dan melihat cara hidup serta adat mereka. Mari Mari Cultural Village terletak di Kionsom, Inanam. Bagi anda yang berminat untuk pergi ketempat ini. Sila kunjungi pautan berikut untuk paduan lokasi. Untuk sampai ke tempat ini, anda perlu menempuh perjalanan sejauh kira-kira 20 Km atau lebih kurang 35 minit perjalanan.

Signal Hill Observatory Platform

Tempat ini pula adalah terletak di pusat bandar Kota Kinabalu, terletak di tempat yang tinggi dan sesuai untuk melihat persekitaran bandaraya Kota Kinabalu terutamanya pada waktu senja. Anda hanya perlu berjalan kaki atau menaiki teksi untuk pergi ke tempat ini. Pihak infosantai menyarankan agar anda menaiki teksi kerana mereka sangat arif dan tahu selok belok di sekitar Kota Kinabalu. Disebabkan tempat yang sedikit terpencil, anda dinasihatkan berhati-hati, pergi ke tempat ini secara berkumpulan atau seeloknya pada waktu siang bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

Double Six Monumen

Double Six Monumen terletak di Sembulan, Kota Kinabalu. Monumen ini dibina sempena memperingati tragedi menyedihkan melibatkan Pejuang Sabah, iaitu Tun Mohd. Fuad Stephens dan 6 Menteri Sabah yang terbunuh dalam kejadian helikopter terhempas pada 6 Jun 1976. Tempat ini dijaga dengan baik dan menjadi tumpuan pengunjung untuk dijadikan latar belakang photo kenangan.

Pasar Makan Malam

Setelah sehari suntuk berjalan-jalan, pastinya hari tidak lengkap tanpa diisi dengan makan malam yang menyelerakan. Bagi anda yang tercari-cari tempat sesuai dan murah untuk makan malam, maka Pasar Makanan Malam Kota Kinabalu merupakan tempat yang paling strategik dan sesuai bagi anda yang menginap di sekitar bandaraya Kota Kinabalu. Lokasi tempat makan malam ini hanya bersebelahan dengan Pasar Filipino. Untuk Lokasi yang lebih jelas, sila kunjungi pautan ini.

Zip Borneo

Bagi peminat aktiviti lasak, bagaimana jika anda mencuba aktiviti lasak di Zip Borneo yang terletak di Tamparuli, Sabah. Tempat ini menyediakan aktiviti mencabar flying fox, abseiling dan high ropes challenges yang mana sangat sesuai untuk aktiviti keluarga dan kanak-kanak berumur 6 tahun dan keatas. Sememangnya aktiviti ini sangat menarik dan suda pasti memberikan kepuasan terutamanya kepada peminat sukan lasak. Untuk memudahkan proses tempahan, anda perlu menghubungi pihak Zip Borneo terlebih dahulu. Untuk sampai ke destinasi ini, anda perlu menempuh perjalanan sejauh 45 km atau sejam memandu daripada Pusat Bandar.

Nature Reserve at Shangri-La’s Rasa Ria Resort

Jika anda mempunyai bajet besar bagi percutian anda di sekitar Kota Kinabalu, bagaimana jika anda menginap di Shangri-La’s Rasa Ria Resort ? disamping ber ‘spa‘, anda juga boleh berjalan-jalan di sekitar tempat ini yang menyediakan trek jungle trekking, dimana anda boleh melihat keindahan alam, burung-burung, binatang kecil seperti tupai dan sebagainya yang ada di kawasan seluar 64 ekar ini. Kawasan yang berbukit menjadikan tempat ini sangat sesuai untuk aktiviti rekreasi anda. Untuk sampai ke tempat ini, anda perlu memandu sejauh 33 km atau lebih kurang 45 minit perjalanan.

Kokol Haven Resort (Bukit Kokol)

Anda inginkan tempat yang sejuk, nyaman dan jauh daripada kesibukan kota ? bagaimana jika anda pergi ke Kokol Haven Resort ? Tempat ini sememangnya sangat terkenal dan menjadi buah mulut penduduk setempat disebabkan keindahannya yang tersendiri. Lihat sahaja gambar diatas, indah bukan ?, Walaupun kos untuk anda menginap di tempat ini sedikit mahal, namun pasti ianya dibayar dengan kepuasan dan keindahan tempat ini terutamanya pada waktu senja. Atau, paling tidak pun, anda boleh pergi ke tempat ini dengan tujuan mengambil angin dan menikmati suasana petang tanpa perlu menginap di hotel yang disediakan. Anda juga boleh menikmati makan malam anda sambil menghayati keindaahan suasana matahari terbenam. Untuk sampai ketempat ini anda perlu menempuhi perjalanan sejauh kira-kira 30 km atau 50 minit perjalanan dari bandaraya Kota Kinabalu. Sila klik pautan ini untuk memudahkan pemanduan anda.

Kota Kinabalu Wetland Centre

Sebelum ini, tempat ini dikenali sebagai Kota Kinabalu City Bird Sanctuary. Tempat menarik ini hanya sejauh kira-kira 5 km sahaja dari pusat bandar. Tempat ini merupakan kawasan hutan bakau berkeluasan kira-kira 60 ekar. Titian sepanjang 1.5 km dibina khas untuk pengunjung bagi menikmati udara segar, melihat burung-burung dan juga binatang kecil. Terdapat lebih kurang 80 spesis burung di sekitar kawasan paya bakau ini. Bagi kemudahan lokasi pemanduan ke tempat ini, sila kungungi pautan ini.

Akuarium Muzium Marin

Kompleks Akuarium-Muzium-Marin Universiti Malaysia Sabah menempatkan hidupan marin yang indah dan berwarna-warni dan sudah tentunya menjadi tarikan pengunjung setiap hari. Untuk pergi ke tempat ini, pengunjung perlu menempuh perjalanan sejauh 3 km dari Bandaraya Kota Kinabalu. Perlu diingatkan bahawa tempat ini dibuka pada masa tertentu sahaja iaitu pada hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu, waktu operasi ialah 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari dan 2.00 petang hingga 4.00 petang. Pada hari Jumaat, waktu operasi ialah pukul 9.30 pagi hingga 11.30 pagi dan 2.00 petang hingga 4.00 petang. Tempat ini ditutup pada hari Ahad.

Para pengunjung akan mengalami suasana yang mengujakan di seksyen akuarium kerana mereka berpeluan bersemuka dengan hidupan laut dan dihiburkan dengan sifat-sifat unik karang hidup, kima, timun laut, landak laut, udang, ikan serta penyu dan sebagainya. Anda boleh menggunakan google map sebagai panduan untuk pemanduan ke tempat menarik ini

Perdana Park

Perdana Park seluas kira-kira 18 ekar ini merupakan salah satu daya tarikan di Tanjung Aru, Kota Kinabalu. Di taman ini, anda boleh melihat air pancut berirama seawal pukul 7.00 malam. Selain itu, Perdana Park juga menyediakan trek untuk berjogging, taman permainan kanak-kanak serta persekitaran yang indah ditumbuhi oleh pokok dan rumput menghijau. Di sini, terdapat juga terdapat bangunan yang menempatkan tandas awam, kedai makan, Secret Recipe dan sebagainya. Untuk  pergi ke tempat ini, pengunjung perlu memandu sejauh 7 km. Sila gunakan google map bagi pandu arah ke tempat ini.

Water Front

Perdana Park terletak di pusat bandaraya Kota Kinabalu berdekatan dengan pasar makan dan Pasar Filipina. Tempat ini sangat sesuai untuk bersantai, berehat dan begambar. Biasanya jumlah pengunjung menjadi sangat ramai terutamanya menjelang senja.

Cowboy Town Tuaran

 

Terletak lebih kurang 40 km dari  bandaraya Kota Kinabalu, Sabandar Cowboy Town merupakan salah satu tempat menarik yang mesti anda kunjungi apabila berada di KOta Kinabalu, Sabah. Tempat ini mulai dibuka pada tahun 2015, dengan menyediakan suasana pekan cowboy kepada para pengunjung pastinya merupakan tempat yang unik dan satu-satunya di Sabah. Untuk  masuk ke sini, pengunjung perlu mendapatkan tiket masuk yang berharga RM 10 untuk dewasa, RM 5 untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun dan percuma bagi kanak-kanak 5 tahun dan kebawah. Jangan lupa membawa bersama tiket pembayaran kerana ianya boleh ditebus dengan minuman teh ais di restoran berdinding buluh di sekitar  tempat menarik ini. Untuk sampai ke tempat ini, anda boleh menggunakan aplikasi google map.

Rumah Terbalik dan 3D Wonders Museum

Terletak di Tamparuli, Sabah dan mengambil masa lebih kurang 50 minit masa perjalanan atau sejauh 38km dari Bandaraya Kota Kinabalu. Rumah ini mulai dibuka kepada orang ramai pada awal Februari 2012 dan sejak itu telah menarik pengunjung dari jauh mahupun dekat. Selain daripada binaan rumah secara terbalik, segala-galanya di dalam rumah, dari perabot ke peralatan rumah tangga, berlegar di atas kepala anda, dimana siling rumah menjadi lantai. Pengunjung akan melihat beberapa hiasan dan ciri khas Sabahan yang dipamerkan di rumah ini. Di dalam garaj, kereta diletakkan terbalik. Keajaiban seni bina ini juga telah dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records kerana menjadi yang pertama seumpamanya di dalam negara. Pengunjung boleh menikmati makanan atau snek petang di Café Rumah Terbalik atau mengambil cenderahati di Gift Shop.

Tarikan terbaru di persekitaran Rumah Terbalik ialah 3D Wonders Museum. Muzium Keajaiban 3D ini bukan hanya pameran seni 3D terbesar di Malaysia Timur tetapi juga merupakan yang pertama dan memberi tumpuan kepada pendidikan orang ramai tentang kepentingan melindungi biodiversiti, ekosistem dan sumber semula jadi.

Bagaimana pandangan dengan perkongsian diatas ? atau ada tempat menarik berhampiran Bandaraya Kota Kinabalu tidak disenaraikan ? Anda boleh nyatakan pendapat anda melalui ruangan komen dibawah. Sila klik butang kongsi jika anda menyukai artikel ini. Terima kasih !.

Tips: Ingin bermalam di Kota Kinabalu? Dapatkan harga hotel terbaik daripada laman seperti Trivago.com, Booking.com, Expedia.com.my atau Agoda.com. Lebih MURAH daripada harga asal!

2 thoughts on “20 Tempat Menarik Di Kota Kinabalu Sabah”

Leave a Reply