Ini Perkongsian Doktor Mengenai Gegata & Cara Rawatannya

“Makin digaru, makin melarat”, doktor ini berkongsi mengenai gegata secara terperinci dan cara merawatnya!

Mungkin anda mengalami gejala seperti dalam gambar, terasa amat tidak selesa dan gatal yang teramat sangat!

Malah, semakin digaru semakin menjadi-jadi dan melarat!

Rasa tersangat gatal yang timbul secara tiba-tiba dipanggil penyakit “urticaria”

Kita biasa menyebutnya atau menamakannya sebagai “gegata”.

Kadangkala ianya dipangil “sopak garam”.

Mengapa? orang-orang tua percaya jika kena penyakit ini, maka sapukan garam ke atasnya.

Maka ianya akan beransur hilang.

Kini, lebih pelik lagi, ada yang mengatakan gegata disebabkan “kena jilat jin”.

Mari kita kupas lebih mendalam lagi tentang penyakit ini.

Apa itu gegata?

Ianya terjadi apabila tubuh kita merembeskan histamin dan beberapa bahan lain menyebabkan cecair dibocorkan dari saluran darah ke lapisan dermis kulit.

Ini menyebabkan kulit menjadi bengkak dan rasa gatal yang melampau.

Jenis-jenis:

Terdapat 2 jenis urticaria iaitu:

  • Acute urticaria: Gegata yang berlaku dalam tempoh kurang daripada 6 minggu
  • Chronic urticaria: Keadaan di mana masalah berlanjutan melebihi 6 minggu

Apakah punca gejala ini?

Gejala ini mungkin terjadi akibat beberapa faktor pencetus seperti:

  • Haba
  • Makanan atau ubatan
  • Jangkitan virus atau stress

dimana, ketiga-tiga keadaan diatas lebih menjurus kepada ‘acute urticaria’.

Gegata juga berlaku akibat tekanan/calaran pada kulit, dimana gegata mengikut corak calar tersebut. Ianya dikenali sebagai “dermographism”.

Anda boleh ‘lukis’ di badan pesakit dan corak gegata akan terbentuk mengikut lukisan anda tadi!

Ada juga gegata yang merupakan simptom kepada penyakit lain seperti penyakit thyroid, penyakit autoimmune, serta penyakit-penyakit kronik yang lain.

Untuk penyakit gegata yang kronik, hampir 90% tidak diketahui pencetusnya.

Situasi ini lebih dikenali sebagai ‘spontaneous urticaria’.

Sifat-sifat:

Ianya bersifat ‘migratory’

Migratory bermaksud “berpindah” dimana tompok-tompok gatal tersebut berpindah randah dari satu bahagian tubuh ke satu bahagian lain.

Kebiasannya, rasa gatal dan bengkak tidak kekal di satu bahagian tubuh lebih dari sehari atau 24 jam.

Bengkak dan rasa gatal hilang tanpa meninggalkan parut atau tanda.

Jika gegata tidak bersifat migratory, bagaimana?

Bilamana gegata yang dialami oleh seseorang tidak berpindah ataupun lebih 24 jam di satu-satu tempat serta meninggalkan parut, kemungkinan ianya disyaki sebagai ‘urticarial vasculitis’

Oleh itu, penyiasatan lanjut termasuk pemeriksaan mendalam terhadap tisu kulit perlu dilakukan.

Cara mengatasi/menghilangkan gegata

Jadi apa yang perlu anda lakukan jika mengalami gejala seperti yang dinyatakan diatas?

Bolehkah gegata dirawat?

Menurut Dr Dr Huda Kamarudin (Pegawai Perubatan Dermatologi), gegata dirawat menggunakan ubat ‘antihistamine’.

Terdapat pelbagai jenis ubat antihistamine di hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan seperti Loratadine, Pitiron, Cetirizine (zyrtec), Desloratadine (Aerius).

Pemberian jenis ubat bergantung kepada doktor yang merawat, dan mungkin ubat yang sesuai dengan anda.

Ringkas kata, anda perlu & MESTI berjumpa dengan doktor untuk rawatan penyakit ini.

Kunci kepada rawatan untuk masalah ini? banyak bersabar, penyakit tidak akan sembuh dalam sekelip mata.

Ubat-ubat yang diberikan perlu dimakan secara konsisten mengikut jarak masa yang telah ditetapkan oleh doktor.

Perlu ditegaskan bahawa kesan “proses pembaikan” adalah berlaku dengan perlahan.

Tanda-tanda perubahan positif ialah:

  • Tompok-tompok bengkak akan berubah menjadi kecil-kecil
  • Penyakit akan muncul dalam tempoh yang lebih singkat berbanding sebelumnya
  • Rasa gatal akan berkurangan.

Ketiga-tiga perubahan positif yang dinyatakan mungkin mengambil masa beberapa hari.

Sekiranya perlu, doktor akan menaikkan dos atau menambah ubat jenis lain untuk mencapai hasil yang dikehendaki.

Jangan memandai menambah dos sendiri!

Sekali lagi, sila berjumpa doktor untuk rawatan dan pemantauan yang betul.

Diari (Rujukan Doktor)

Jika anda mengesyaki masalah ini itu disebabkan faktor-faktor tertentu terutamanya apabila ianya berlaku berulangkali, anda mungkin disuruh oleh doktor untuk menyimpan diari.

Sekiranya rasa gatal disebabkan makanan, catat apa yang anda makan setiap hari, dan bila rasa gatal dan ruam pada kulit mulai muncul.

Diari tersebut akan disemak untuk melihat jika terdapat kaitan antara episod gegata dengan faktor pemakanan tadi.

Bagaimana jika terkena gegata kronik?

Jika anda terkena gegata jenis kronik, doktor akan mengambil ujian darah untuk memastikan tiada penyakit lain yang menyebabkan ianya terjadi.

Ubat antihistamine akan diberikan selagimana penyakit itu masih ada, dan akan dikurangkan atau ditambah dos sesuai dengan keadaan penyakit pada setiap temujanji.

Jika ianya disusuli pembengkakan mulut atau mata?

Anda perlu pandang serius akan keadaan seperti ini!

Sekiranya gegata disusuli dengan pembengkakan mulut atau mata, sesak nafas atau perubahan pada suara, pergi ke hospital dengan kadar segera!

Kemungkinan besar juga pembengkakan berlaku di bahagian dalam badan dan mungkin juga boleh menutup salur pernafasan!

Akibat “jilatan jin” ?

Tiada yang mistik mengenai penyakit ini. Ianya adalah satu penyakit yang ada rawatannya.

Yang penting, ikut arahan pemakanan ubat dan jangan sapu benda pelik-pelik di tubuh.

Sumber:

Medical Mythbuster Malaysia

Dr Huda Kamarudin
Pegawai Perubatan Dermatologi
Medical Mythbuster Malaysia

Leave a Reply