Beberapa hari sebelum gaji bulanan anda masuk, duit didalam dompet anda hanya beberapa ringgit sahaja. SMS daripada bank bertalu-talu masuk kedalam handphone anda mengingatkan bayaran yang perlu dijelaskan untuk bulan tersebut. Lampu minyak kereta anda menyala memberi amaran tangki minyak anda hampir kosong.
Setiap malam anda duduk termenung mengenangkan keadaan kewangan anda yang sesak ini. Sampai bila masalah kewangan ini akan berterusan?
Berikut merupakan beberapa cara yang boleh anda amalkan dalam usaha anda untuk bebas daripada masalah kewangan.
Buat budget dan Kaji perbelanjaan anda
Buat budget. Jangan tunggu sehingga duit kita cukup baru buat budget. Jika anda memang membuat budget setiap bulan, teruskan. Jika kita mempunyai budget ini menandakan kita mengambil berat terhadap pengurusan kewangan kita.
Kuatkan disiplin diri dan ikut budget yang anda buat. Contohnya, untuk minggu ini budget untuk makan diluar adalah Rm50. Sampai sahaja jumlah ini, anda perlu membawa bekal dari rumah.
Catatkan setiap perbelanjaan anda. Termasuklah pembelian tidak dirancang seperti makanan ringan, minuman tin dan sebagainya. Dengan cara ini kita dapat melihat dengan jelas dimana duit kita pergi.
Ini dapat dilakukan dengan mudah dengan teknologi yang kita ada pada masa sekarang. Terdapat banyak aplikasi mobile phone percuma yang boleh anda gunakan untuk tujuan ini.
Bandingkan budget yang anda buat dengan perbelanjaan sebenar. Lihat dimana kedudukan anda. Mungkin terdapat beberapa bahagian yang anda boleh kurangkan atau hapuskan sama sekali.
Tentukan priority dalam perbelanjaan anda
Ambil masa untuk menentukan keutamaan dalam budget anda. Jika anda sudah berkeluarga, duduk berbincang bersama pasangan anda. Keutamaan kita adalah untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan sihat dan selesa tanpa berlebihan. Berikut merupakan contoh keutamaan dalam budget anda.
- Bahan Makanan – target anda adalah mendapatkan cukup nutrisi untuk aktiviti seharian. Elakkan membeli bahan makanan yang bukan keperluan seperti Coca-cola, Ice cream dan yang sejenis dengannya.
- Bayaran bil seperti bil elektrik, bil air, bil/sewa rumah
- Bayaran pinjaman (loan kereta, loan peribadi, kad kredit) – Bayaran minimum sahaja. Jika terdapat lebihan pada budget anda selepas semua senarai keperluan anda dipenuhi barulah anda pertimbangkan untuk bayaran lebih.
- Simpanan kecemasan atau simpanan peribadi anda semaksima yang boleh. Pilih cara simpanan yang mana membolehkan anda mengeluarkan simpanan tersebut bila-bila masa sahaja untuk kegunaan kecemasan seperti kos perubatan.
- Lain-lain keperluan (jika perlu sahaja).
Elakkan Shopping tanpa perancangan
Tentukan masa mengikut kesesuaian anda untuk membeli-belah. Contohnya untuk barangan keperluan harian atau barangan dapur anda akan keluar sekali seminggu setiap hari sabtu sahaja. Sebelum sampai hari tersebut anda sudah mula menyediakan senarai yang perlu dibeli.
Pada hari tersebut sebelum bergerak keluar, lihat semula senarai tersebut dan buat anggaran perbelanjaan. Bandingkan anggaran perbelanjaan tersebut dengan budget anda. Jika melebihi budget anda potong mana-mana yang patut.
Untuk barang-barang lain seperti baju, barangan elektronik dan lain-lain yang bukan keperluan asas fikirkan semula dan tanya diri anda. Apakah kepentingan barang tersebut kepada anda? Melainkan anda merasakan anda benar-benar memerlukan benda tersebut, simpan keinginan anda dan yakinkan diri anda bahawa benda tersebut tidak membawa apa-apa faedah.
Buat target, Simpan, simpan dan Simpan
Katakanlah gaji anda sebulan adalah dalam rm3,500. Sasaran anda adalah mendapatkan rm3,500 iaitu bersamaan dengan sebulan kehadapan. Sekali imbas angka tersebut seperti mustahil memandangkan anda melalui setiap bulan dengan menunggu hari gaji.
Untuk mencapai sasaran tersebut anda perlu menyimpan lebih kurang RM9 setiap hari. Pada masa sekarang RM9 bukanlah satu jumlah yang besar. Sarapan pagi anda RM4.80, anda membeli air minuman RM1.50, minum petang bersama rakan RM2.50, bayaran tandas RM0.20. Tanpa disedari anda telah membelanjakan RM9 begitu sahaja.
Tulis target anda tersebut atas kertas dan lekatkan kertas tersebut di tempat yang anda nampak setiap hari. Depan cermin, atas tv, tepi screen komputer, dalam tandas dan sebagainya.
Setiap bulan atau setiap minggu, simpan hasil simpanan anda tersebut dalam akaun bank yang jarang anda gunakan. Lagi baik jika anda tidak mempunyai kad atm untuk akaun bank tersebut. Dengan semangat dan disiplin yang tinggi dalam masa 14 bulan anda akan dapat mencapai target tersebut.
Percayalah selepas anda mencapai target tersebut keadaan kewangan anda akan lebih teratur dan mudah. Sebabnya? anda telah melatih diri anda selama setahun. Langkah seterusnya terletak ditangan anda.
Simpan setiap sen yang anda ada
Tanpa sen tidak ada ringgit. Tanpa ringgit tidak ada ratus. Simpan setiap sen yang anda ada. Nilai ringgit pada masa sekarang membuatkan kita secara tidak sengaja ‘lebih menghargai’ keping-keping kertas daripada keping-keping syiling yang kita ada.
Setiap kali anda menggunakan wang kertas untuk membayar sesuatu, anda menerima baki bersama dengan beberapa keping duit syiling. 10 sen, 20 sen, 5 sen. Anda simpan dalam laci, dalam botol, dalam kereta anda dan anda akan melupakan duit syiling tersebut selepas itu. Berapa orangkah dikalangan kita sanggup meluangkan masa untuk mengutip semula duit syiling 10 sen yang jatuh dibawah katil ataupun dibawah tempat duduk kereta?
Sediakan satu tabung khas atau botol untuk anda menyimpan syiling tersebut. Setiap kali anda menyimpan hasil simpanan target anda (seperti yang dinyatakan diatas) sertakan juga botol syiling anda.
Fikir sebelum membeli
Setiap kali anda mencapai sesuatu barang dalam mana-mana kedai tidak kira makanan ringan, gula-gula, klip kertas, pencuci muka atau sebagainya beri peluang pada diri anda seketika untuk berfikir. Adakah anda benar-benar perlukan barang tersebut? adakah alternatif lain untuk anda tanpa membeli barang tersebut?
Jika anda ingin membeli air minuman mungkin anda boleh mendapatkannya dengan harga yang lebih murah daripada mana-mana mesin air ataupun secara percuma dengan membawa air dari rumah. Jika anda ingin membeli barangan seperti klip kertas, pen, kertas nota atau apa-apa barangan pejabat mungkin anda boleh mendapatkannya secara percuma atau dibekalkan secara percuma ditempat kerja anda (sepatutnya).
Jika anda merasakan barang-barang tersebut tidak memberikan kesan terhadap pengurusan kewangan anda, cuba buat ujikaji ini. Untuk bulan pertama anda berbelanja seperti biasa dengan syarat setiap resit pembelian anda simpan. Cukup sebulan cuba lihat semula resit pembelian tersebut. Lihat setiap barang anda beli dan jumlahkan perbelanjaan anda. Kemudian tanya diri anda – berbaloikah perbelanjaan tersebut?.
Cari Pendapatan Sampingan
Ada pelbagai cara untuk kita mencari pendapatan sampingan (dengan cara halal). Anda boleh bekerja part-time mungkin sebagai guru tuisyen, restoran, cafe atau mana-mana jika anda sanggup.
Berikut merupakan beberapa cara untuk anda mendapatkan pendapatan sampingan. Terpulang kepada anda memilih mana-mana yang sesuai.
- Jual barang-barang anda yang tidak digunakan lagi secara online melalui media seperti facebook, lelong.com.my, mudah.my.
- Bekerja secara online. Ada pelbagai cara menjana duit online di malaysia.
- Jika anda mahir membuat barang-barang makanan mungkin anda boleh menjual melalui orang tengah seperti restoran, gerai, cafe, kantin – tumpang tempat mereka dan agihkan keuntungan.
- Gunakan telefon canggih anda untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Adakah anda berminat dengan cara dapatkan duit dengan aplikasi handphone?
- Jika anda mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang, buat blog dan kongsikan kepakaran anda. terdapat pelbagai cara anda boleh mendapatkan pendapatan sampingan melalui blog.
- Anda mahir membuat sesuatu yang unik? seperti cenderamata, lukisan, dan sebagainya? Kenapa sembunyikan bakat anda? Perkenalkan hasil kemahiran anda tersebut. Mungkin anda boleh bermula di tempat-tempat seperti pasar hujung minggu, semasa aktiviti terbuka masyarakat dan sebagainya. Jangan lupa, anda boleh menggunakan media seperti facebook, mudah.com, dan lelong.com.my untuk menjual bakat anda.
Langkah seterusnya selepas anda bebas daripada masalah kewangan
Jika anda berjaya membebaskan diri anda daripada daripada masalah kewangan yang membelenggu anda setiap bulan bermakna anda suda ‘graduate’ dalam pengurusan kewangan dalam hidup anda. Jangan berhenti disini, teruskan hingga ianya menjadi habit anda. Kongsikan kepada rakan anda jika artikel ini bermanfaat pada anda.