Polumpung Melangkap: Tempat Menarik Di Kota Belud Sabah

Dikenali sebagai Polumpung Melangkap Camp Site, merupakan salah satu tempat menarik di Kota Belud yang semakin dikenali ramai disebabkan keindahannya tempatnya yang memukau setiap pengunjung yang pernah datang melawat ke tempat ini. Lokasi tempat menarik ini terletak di Kampung Melangkap Baru, kira-kira 29 km atau 36 minit pemanduan dari pekan Kota Belud, Sabah. Kawasan ini merupakan kawasan sukan dan rekreasi. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di tempat ini, antaranya ialah berkhemah, berbeku, bermandi-manda di sungai dan sebagainya.

Perkhemahan Di Melangkap

Berkhemah merupakan aktiviti paling utama dilakukan di tempat ini. Melangkap Camp Site menyediakan kawasan yang luas dan rata dan sangat sesuai untuk aktiviti perkhemahan, Pengunjung boleh menyewa khemah dengan Pusat Pengurusan Melangkap Camp SIte. Walaubagaimanapun, jumlah khemah adalah sangat terhad. Pengunjung digalakkan untuk membawa khemah masing-masing.

Tempat Letak Kereta

Kawasan ini mempunyai tempat letak kereta yang luas sesuai dengan tapak perkhemahannya yang luas. Walaubagaimanapun, pengunjung dinasihatkan supaya meletakkan kereta secara berhemah dan teratur bagi menjimatkan ruang dan memudahkan pengunjung lain untuk keluar masuk serta tidak menghalang kereta pengunjung lain.

Canopy

Mungkin ada baiknya jika anda membawa canopy mudah alih seperti dalam gambar diatas. Ini adalah bagi memastikan keselesaan maksimum anda untuk aktiviti memasak, bersantai dan sebagainya. Tikar getah seperti flowmate atau tikar biasa juga perlu dibawa bagi menambahkan keselesaan anda.

Bersantai Di Sungai Melangkap Kota Belud

kredit: Polumpung Melangkap View Camp

Bersantai dan bermandi-manda di sungai Polumpung Melangkap merupakan salah satu tarikan utama di tempat menarik Kota-Belud. Air sungai yang jernih dan cetek amat sesuai untuk dewasa dan kanak-kanak bermandi-manda. Namun begitu, ibubapa dinasihatkan untuk memantau anak masing-masing jika mandi di sungai ini. Pelampung juga disediakan untuk pengunjung. Pelampung berbentuk tiub tayar perlu disewa dengan pihak pengurusan Polumpung Melangkap. Walaubagaimanapun, jumlah pelampung juga terhad.

Bersantai dan Menikmati Susana Ketika Matahari Terbit dan Terbenam

Senja di Melangkap Camp Site

Pagi di Melangkap Camp Site

Jika anda mengunjungi tempat ini, ada baiknya untuk anda meluangkan sedikit masa anda untuk menikmati suasana matahari terbenam dan terbit. Suasana yang jauh dari kesibukan bandaraya sudah pasti memberikan ketenangan kepada anda. Jika boleh abadikan juga saat-saat ini dengan mengambil gambar kenangan.

Berbeku

Aktiviti perkemahan menjadi lebih sempurna jika adanya barbeku. Anda boleh berbeku ditempat ini. Walaubagaimanapun, perlu diingatkan tapak atau peralatan berbeku adalah terhad. Jika terlalu ramai pengunjung, maka anda tidak berpeluang untuk mendapat tempat melainkan anda membawa peralatan asas berbeku dari rumah. Kesimpulannya, lebih baik menggunakan peralatan berbeku sendiri. Jika anda terlupa membawa arang, jangan risau, anda boleh menggunakan kayu api khas yang disediakan di sini. Kayu api yang disediakan juga sesuai untuk aktiviti barbeku.

Cuaca Sejuk Pada Waktu Malam

Disebabkan tempat ini berhampiran dengan puncak tertinggi Asia Tenggara, Gunung Kinabalu, sudah tentu cuacanya adalah sedikit sejuk terutamanya pada waktu malam. Bagi mereka yang bercadang untuk berkhemah disini, anda perlu membawa baju yang tebal dan juga selimut bagi keselesaan anda sepanjang malam.

Yuran Dan Peraturan Di Polumpung Melangkap

Untuk berada di tempat ini, yuran kemasukan dikenakan. Jangan risau, yuran tidaklah begitu mahal dimana bagi pengunjung yang berumur 13 tahun dan keatas, yuran sebanyak RM 2 dikenakan. Manakala bagi kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun, yuran dikenakan ialah RM 1 sahaja dan percuma bagi kanak-kanak dibawah 6 tahun. Jika anda bercadang untuk berkhemah, yuran yang dikenakan kepada pengunjung yang berumur 13 tahun dan keatas ialah RM 4 untuk satu malam dan kanak-kanak berumur 12 tahun kebawah pula ialah RM 2 untuk satu malam.

Semasa berada di tempat ini pengunjung juga mestilah mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan Polumpung Melangkap View Camp (PMVCS)

Antara peraturan yang perlu dipatuhi ialah pengunjung perlu atau mesti membayar yuran terlebih dahulu sebelum masuk ke kawasan ini, tidak dibenarkan menangkap ikan, memancing, memburu atau apa juga cara yang mengancam spesis hidupan di kawasan tersebut, tidak dibenarkan menebang atau merosakkan flora dan fauna, membuang sampah sarap di merata-rata tempat dan banyak lagi. Sebanyak 29 jenis peraturan yang perlu dipatuhi oleh pengunjung. Anda boleh melihat pautan ini bagi melihat senarai peraturan.

Gambar Menarik Di Polumpung Melangkap View Camp Site

kredit: Aah Tuvin

 

Bagaimana ? Adakah anda rasa tempat ini menarik ? jika anda ingin pergi ke tempat ini anda boleh melayari facebook Polumpung Melangkap melalui pautan ini. Anda suka artikel ini ? adakah maklumat yang diberikan mencukupi atau bagaimana pengalaman anda jika anda pernah pergi ke salah satu tempat menarik khasnya di daerah Kota Belud ini ? Anda boleh berkongsi pengalaman anda melalui ruangan komen dibawah. Sila klik butang kongsi untuk memberitahu rakan-rakan anda mengenai tempat menarik ini.

 

 

 

Leave a Reply